Sunday, January 9, 2011

Masalah Mata Lelaki Usia 50-an

BAGI GOLONGAN LELAKI, DEKAD KELIMA KEHIDUPAN DAN SETERUSNYA SERING MEMBAWA PERUBAHAN BESAR DALAM HIDUP. DI KALA USIANYA INILAH KEBANYAKAN LELAKI MULA DIANCAM MASALAH KESIHATAN.

Salah satu daripadanya adalah masalah berkaitan mata. Pancaindera ini juga akan mengalami perubahan akibat peningkatan usia. Sesetengah perubahan ini adalah normal dan berkait rapat dengan usia tetapi ada juga yang berpunca daripada datangnya penyakit.

Presbyopia (Rabun Dekat)
Penyakit ini adalah perubahan yang paling biasa berlaku, seseorang yang meningkat usianya kehilangan keupayaan untuk melihat dari jarak dekat. Mekanisme fokus mata pesakit sebegini telah menjadi semakin lemah sementara jalan penyelesaian paling mudah untuk masalah ini adalah dengan penggunaan ‘cermin mata membaca’ dari pakar mata.

Dalam keadaan ini, senaman mata atau memperbanyakkan melihat suasana hijau tidak akan membawa faedah lagi. Selain itu, pesakit juga perlu berhati-hati dengan pembedahan kornea menggunakan laser kerana berkemungkinan banyak masalah boleh berlaku selepas beberapa ketika.

Katarak
Kira-kira 50 peratus daripada mereka yang mencecah usia 70 tahun akan mendapat katarak. Katarak adalah pembentukan kekeruhan pada kanta asal mata pesakit yang berlaku secara berperingkat dan semakin teruk.

Kebanyakan katarak tidak perlu dibuang selagi ia tidak mengganggu penglihatan pesakit. Dalam mendapatkan rawatan untuk katarak pula, pesakit dinasihatkan untuk endapatkan pandangan kaedah terbaik menangani katarak daripada beberapa pakar memandangkan kepakaran teknikal dan kos rawatan amat berbeza di antara pakar-pakar mata terbaik.

Diabetes
Penyakit ini menyerang dengan senyap dan merupakan ‘pembunuh’ berbahaya kerana pesakit mungkin hanya menunjukkan sedikit simptom sehinggalah kebanyakan daripada organ dan tisu badan telah rosak teruk. Pengurusan secara berkesan penyakit ini dari peringkat awal selalunya dapat memberi manfaat besar kepada kualiti hidup pesakit kelak.

Jika anda merupakan pesakit diabetes, amat penting untuk mendapatkan pemeriksaan mata selepas didiagnosis menghidap diabetes, sekurang-kurangnya sekali setiap tahun dan selepas itu lebih kerap bergantung kepada tahap kesihatan mata.

Rawatan sebelum berlakunya kerosakan pada penglihatan selalunya tidak menyakitkan, lebih berjaya dan lebih murah. Bagaimanapun, jika rawatan hanya diterima selepas penglihatan terjejas, ia selalunya rumit, mahal dan paling penting, mungkin tidak dapat meningkatkan kembali tahap penglihatan pesakit.

Kemerosotan Makular Berkaitan Dengan Usia (ARMD)
Masalah ini merupakan satu-satunya punca utama mereka di Barat menghadapi gangguan penglihatan yang serius. Walaupun terdapat kaitan genetik yang memainkan peranan dalam pembentukan ARMD, amalan pemakanan juga memainkan peranan yang besar.

Memandangkan diet harian di negara ini semakin mengikut gaya pemakanan Barat, bilangan pesakit ARMD di Malaysia juga dilihat semakin meningkat. Masalah ini menyebabkan kawasan pusat retina yang sensitif menjadi kecut dan kadangkala ia berlaku dengan pantas dan amat membimbangkan.

Retina merupakan bahagian mata yang membentuk imej yang dilihat dan akibat ARMD, imej pertengahan yang tajam menjadi semakin kabur serta tidak jelas dan akhirnya menjadi kabur sepenuhnya. Penglihatan periferal (sisi) bagaimanapun tidak terjejas akibat masalah ini.

Tabiat merokok juga merupakan satu faktor risiko utama untuk penyakit ini. Pengambilan suplemen makanan yang kaya dengan vitamin A, C, E, zink, selenium dan lutein mungkin dapat mengurangkan perkembangan ARMD sehingga 25 peratus.

Glaukoma
Masalah ini menyebabkan kematian pramatang saraf optik yang menghubungkan mata ke otak. Ia selalunya berlaku secara berperingkat tetapi pesakit mungkin tidak menunjukkan sebarang simptom sehinggalah kerosakan pada saraf tersebut tidak dapat diperbaiki lagi.

Walaupun jika pesakit disahkan menghidap glaukoma, rawatan yang berjaya dapat diperoleh dengan hanya menggunakan ubat titisan mata sementara pembedahan jarang sekali perlu dilakukan ke atas pesakit. Glaukoma mempunyai komponen kaitan genetik yang besar, maka ahli keluarga pesakit yang disahkan menghidap glaukoma perlu dibuat pemantauan untuk perkembangan masalah ini, seumur hidup mereka.

Kadangkala, keadaan ini boleh menyebabkan kesakitan yang teruk jika pesakit turut mengalami katarak yang semakin melarat. Pembedahan membuang katarak selalunya menyelesaikan masalah sebegini tanpa memerlukan pembedahan khusus untuk glaukoma.

Email daripada "khair isma"

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...